Samoa Joe bakal muncul di Royal Rumble?
Acara yang paling dinantikan
setiap tahun, Royal Rumble bakal bersiaran pada 30 Januari ini. Seperti
lazimnya, elemen kejutan merupakan sesuatu yang amat signifikan dengan
acara ini dengan para peminat pastinya tertanya-tanya siapakah peserta
kejutan yang akan membuat kemunculan dalam perlawanan Tempur Raksasa
Diraja kelak.
Antara nama yang kini disebut-sebut
bakal mengisi salah satu daripada 30 slot yang disediakan adalah bekas
Juara TNA dan NXT, Samoa Joe. Kemungkinan penyertaan bintang berusia 37
tahun ini di Rumble kini menjadi topik hangat di kalangan para
penganalisis di mana Joe diramal bakal melangkah masuk ke roster utama
dan acara Rumble bakal menjadi medan pertama untuknya dalam saingan
dalam liga yang lebih besar selepas menyertai jenama pembangunan bakat
WWE, NXT sejak Mei 2015 yang lalu.
Joe atau nama sebenarnya, Nuufolau Joel
Seanoa dilaporkan telah mengalami sedikit kecederaan bulan lalu. Namun
keterlibatan semula beliau dalam rakaman NXT pada Khamis lalu menjadi
indikator yang dirinya kini telah pulih dan cergas seperti sedia kala.
Sejak tewas kepada Shinsuke Nakamura di
acara NXT Osaka pada awal Disember lalu dan tumbang sekali lagi dalam
perlawanan sangkar besi bagi perebutan Kejuaraan NXT di Australia pada
14 Disember lepas, Joe dilihat kurang terlibat dengan beberapa program
NXT selepas itu dan tiada jalan cerita baharu untuknya di jenama
tersebut. Penyandang juara, Shinsuke Nakamura pula kini akan menumpukan
persengketaannya dengan pencabar baharu iaitu Bobby Roode, sekaligus
menyingkirkan Joe daripada perebutan kejuaraan buat masa ini.
Spekulasi telah bertiup sejak beberapa
bulan lalu yang menyatakan bahawa apabila sengketa antara Joe-Nakamura
ini berakhir, Joe akan terus diserap dalam roster utama sepertimana
bekas-bekas juara NXT lain seperti Finn Balor, Bo Dallas, Neville dan
Seth Rollins. Dan ramai membuat ramalan bahawa Joe akan menyertai jenama
Smackdown Live pasca kemunculannya di acara Royal Rumble kelak.
Namun semua ini hanyalah jangkaan dan
boleh berubah bila-bila masa. Yang pasti, kehadiran Joe di roster utama
bakal memberi impak besar kepada WWE yang kini mendambakan lebih ramai
bintang untuk mengisi kelompongan yang ada di Raw dan Smackdown.
Banyak perlawanan hebat melibatkan Joe
yang boleh kita harapkan jika benar Joe menyertai roster utama. Kita
semestinya mengimpikan pertembungannya dengan Roman Reigns, Kevin Owens,
Braun Strowman dan ramai lagi. Atau tidak keterlaluan, pertemuan semula
Joe dengan “musuh” lamanya di TNA iaitu Juara WWE. AJ Styles.
Joe sememangnya seorang penggusti yang hebat. Beliau pernah mendapat
anugerah perlawanan 5 bintang untuk 3 tahun berturut-turut oleh
Wrestling Observer Newsletter. Pada 2004, ketika menentang CM Punk di
Ring Of Honor pada 16 Oktober 2004. Pada 2005 pula, beliau sekali lagi
mengungguli persada gusti dengan perlawanan hebat menentang AJ Styles
dan Christopher Daniels di acara TNA Unbreakable pada 11 September 2005.
Kemudian pada 2006, sekali lagi beliau memperoleh anugerah yang sama
dalam perlawanan menentang Kenta Kobashi di ROH pada 1 Oktober 2006.
Kehadiran Joe ke roster utama sudah tentu bakal menggusarkan para
penggusti lain. Dengan gerakan penyudah Pemecah Otot, tiada apa yang
mampu menghalang bintang kelahiran Orange County, California ini untuk
menggapai segala yang diingini. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada
Tyson Kidd. Semasa perlawanan sulung Joe di WWE pada 2015 (yang tidak
disiarkan di TV), Kidd telah mengalami kecederaan serius di leher akibat
gerakan tersebut yang memaksanya berehat sehingga sekarang.
Tidak mustahil, selepas AJ Styles, Samoa Joe pula bakal memecah tradisi
dengan menjadi alumni TNA kedua bergelar Juara Dunia / Universal di WWE.
loading...
Komentar
Posting Komentar