Kurt Angle bakal dianugerahkan gelaran Hall of Fame WWE

Kurt Angle bakal dianugerahkan gelaran Hall of Fame WWE


Berita yang sukar dipercayai. Tapi itulah hakikatnya. Bekas Juara Dunia WWE, Kurt Angle akan menjadi salah seorang penerima anugerah Dewan Kemasyhuran WWE bagi tahun 2017. Sebuah pengiktirafan paling berprestij khusus buat para penggiat gusti profesional atas segala sumbangan mereka kepada industri selama ini.

ESPN.com menjadi yang terawal melaporkan khabar gembira ini, dan WWE melalui media rasmi mereka telah mengesahkannya.


Berikut merupakan kenyataan penuh rasmi WWE:

“It's true, it's true! Kurt Angle akan meletakkan dirinya di pentas yang selayaknya dalam anugerah Hall of Fame WWE bagi tahun 2017, yang bakal berlangsung 2 hari sebelum acara Wrestlemania 33, sepertimana yang dilaporkan ESPN.com.
“Pencapaian Kurt Angle dalam Olimpik dan WWE sangat mengagumkan,” ujar Naib Presiden Eksekutif WWE, Paul ‘Triple H’ Levesque. “Beliau adalah atlit paling berbakat pernah melangkah masuk ke gelanggang, dan kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan beliau ke dalam Hall Of Fame.”

Sebelum bergelar lagenda dalam arena gusti profesional, anak jati Pittsburgh ini merupakan seorang ahli sukan berkelas dunia dengan bergelar juara All-American sebanyak dan Juara NCAA sebanyak 2 kali semasa bergusti untuk Universiti Clarion di Pennsylvania. Karier amatur hebatnya terbukti di acara Sukan Olimpik Atlanta pada tahun 1996, apabila beliau berjaya menggondol pingat emas untuk Amerika Syarikat, dalam keadaan lehernya yang cedera.


Pada 1998, Angle berhijrah daripada gusti amatur kepada gusti profesional dengan menandatangani kontrak bersama WWE. Setahun kemudian, pemenang pingat emas ini membuat kemunculan sulung di acara Survivor Series 1999 dengan memulakan rekod tanpa kalah, seterusnya merampas Kejuaraan Eropah dan Antara Benua WWE. Kehebatannya sebagai bintang baharu turut terbukti di acara WWE No Mercy pada Oktober 2000, apabila beliau menewaskan The Rock untuk bergelar Juara WWE buat kali pertama.

Tanpa menafikan kehebatannya dalam gelanggang, Angle turut berbakat dengan menyerlahkan sisi hiburannya dalam sukan hiburan, lebih baik daripada disangka. Tidak kira sama ada modal “Tiga I”nya - intensity, integrity and intelligence – beraksi depan kamera selama 5 saat bersama Edge & Christian, atau menyertai Stone Cold Steve Austin menyanyi di belakang tabir, Wira Olimpik ini mampu membuatkan para WWE Universe pecah perut apabila beliau tidak terlibat dalam perlawanan.


Sebelum beliau meninggalkan WWE pada 2006, Angle telah berjaya membentuk dirinya sebagai bintang paling berharga dalam WWE dalam tempoh yang singkat. Beliau memegang rekod sebagai Juara WWE sebanyak 4 kali, Juara Heavyweight WWE dan WCW, Juara Amerika Syarikat, Juara Tempur Lasak, Juara Antara Benua dan Juara Regu. Angle juga pernah bergelar Raja Gelanggang (King Of The Ring) dan menjawat jawatan Pengurus Am bagi jenama Smackdown.

Bagi menghargai segala kecemerlangan ini, dan atas sumbangan besarnya kepada WWE sepanjang kariernya, Angle akan dianugerahkan sebagai bintang lagenda Hall of Fame WWE.

Mengulas tentang penganugerahan ini, bintang berusia 48 tahun ini berkata, 

“Saya amat terkejut. Saya telah meninggalkan WWE bertahun-tahun dan sekian lama tidak berhubung dengan mereka. Jadi saya memang tak jangka perkara ini. Ia adalah pengiktirafan yang amat bermakna buat saya. Setelah tujuh tahun menghiburkan peminat WWE, saya gembira yang segala kerja keras saya terbayar akhirnya.”

Angle turut mendedahkan yang kali terakhir beliau berhubung dengan Triple H adalah pada Mei tahun lalu. Namun tiada sebarang susulan kepada perbincangan tersebut, menyebabkan dirinya ragu-ragu sama ada WWE masih menginginkan untuk dirinya kembali kepada syarikat yang mencipta namanya itu.

Namun semalam, sekali lagi Hunter menghubunginya dan menyampaikan berita yang dirinya akan dimasukkan sebagai lagenda Hall Of Fame tahun ini.

“Adakah anda dah lupa pada perbincangan kita yang lalu?” Tanya Angle kepada Triple H. “'Kami tak pernah lupa. Dan inilah tujuan saya menghubungi anda'. Dan sama ada saya bergusti atau tidak untuk WWE selepas ini tidak penting. Yang mustahak adalah saya akan dimasukkan dalam Hall Of Fame,” kata Angle.

Sebaik sahaja mendapat berita ini, individu pertama yang dihubungi Angle adalah Stone Cold Steve Austin.

"Saya dan Steve telah mengembara bersama. Kami sentiasa berseronok dan beliaulah  yang sentiasa berhubung serta bertanya khabar saya. Beliau banyak mengajar saya tentang gusti dan bagaimana untuk menjadi seorang yang kelakar. Saya takkan lupakannya. Beliau seorang sahabat yang baik."

Setelah meninggalkan WWE pada 2006, Angle telah menyertai syarikat pesaing WWE ketika itu iaitu Total Nonstop Action Wrestling (TNA) dan menghabiskan hampir 10 tahun di situ. Perlawanannya dengan bintang-bintang TNA seperti Samoa Joe, AJ Styles, Christopher Daniels dan ramai lagi menjadikan TNA berjaya meletakkan organisasi mereka di kelasnya yang tersendiri dan melonjakkan lagi bintang-bintang di sana ke kelas yang lebih tinggi.
 
Di TNA sahaja, Kurt Angle berjaya menggapai Kejuaraan Heavyweight Dunia TNA sebanyak 6 kali, Juara Regu sebanyak 2 kali dan sekali sebagai Juara X Division. Bukan itu sahaja, semasa New Japan Pro Wrestling (NJPW) berkolaborasi bersama TNA pada 2007, Angle turut bergelar Juara Dunia IWGP dengan menewaskan Brock Lesnar. Menjadikan Angle sebagai pemegang gelaran Triple Crown kedua di TNA selepas AJ Styles.
Wrestling Observer turut menamakan Kurt Angle sebagai Penggusti Terbaik Sepanjang Dekad pada tahun 2010, dan tiga tahun kemudian, Angle dianugerahkan gelaran Hall Of Fame TNA, menjadikan dirinya sebagai penggusti kedua menerima kedua-dua anugerah Hall Of Fame WWE/TNA selepas Sting.

Walaupun Angle tidak meletakkan sebarang harapan untuk dirinya kembali bergusti di WWE selepas ini, tidak mustahil yang dirinya akan terlibat dengan acara Wrestlemania 33 pada 3 April depan. Mungkin dalam perlawanan selamat tinggal atau sebarang perlawanan istimewa dengan bintang-bintang baharu WWE yang belum pernah beliau tandingi. Atau jangan terkejut jika lagu tema Medal bergema di acara Royal Rumble hujung bulan ini dengan Angle menjadi peserta kejutan dalam acara tersebut.
Walau apa sekalipun, penganugerahan Hall Of Fame ini sememangnya amat layak buat Angle atas segala sumbangannya selama ini. Bagi kelas Hall Of Fame 2017 nanti, Angle dijangka akan bersama dengan bintang lagenda lain seperti Diamond Dallas Page, mendiang Rick Rude dan beberapa penerima lagi yang belum dinamakan.

Oh it’s true! It’s true!
loading...

Komentar