Braun Strowman, Bintang Yang Mendominasi RAW

Braun Strowman, Bintang Yang Mendominasi RAW


Bintang sasa WWE, Braun Strowman tidak menoleh ke belakang lagi apabila kini dianggap sebagai bintang paling digeruni di jenama Raw dan dilihat akan terus mendominasi jenama itu untuk masa mendatang.

Dengan ketinggian 6 kaki 8 inci dan berat sebanyak 175kg, bintang berusia 33 tahun ini saban minggu menampilkan kebengisannya dengan membelasah para penggusti yang lebih lemah termasuk mengugut para kakitangan belakang tabir. Sikap agresifnya ini kelihatan amat sukar untuk dikawal sehingga Pengurus Am Raw, Mick Foley juga teragak-agak dan sangsi untuk menghalang Strowman daripada terus bermaharajalela.

Setelah gagal membenam Sami Zayn di acara WWE Roadblock minggu lalu, Strowman cuba untuk melindungi aib yang teroalit padanya kerana Sami berjaya bertahan dengannya di dalam gelanggang selama 10 minit sepertimana syarat yang dikenakan Mick Foley. Keupayaan Sami ini ternyata mencalar ego Strowman yang selama ini menguasai gelanggang dengan mengambil masa hanya 2-3 minit untuk menewaskan lawannya.

Oleh kerana tidak berjaya menemui Sami ketika acara Raw minggu lalu, Strowman telah mengamuk seluruh bilik persalinan termasuk membelasah Sin Cara dan membelasah penggusti bertopeng dari Mexico itu hingga lembik. Seth Rollins dan Roman Reigns juga turut menjadi sasaran apabila Strowman sekali lagi muncul dan mengganggu perlawanan mereka dengan Kevin Owens dan Chris Jericho di acara kemuncak.


Pesuruhjaya Raw, Stephanie McMahon dalam acara Raw semalam telah memberi solusi bagi mengurangkan amarah Strowman. Di acara Raw minggu hadapan, Strowman akan sekali lagi diberi peluang untuk melampiaskan kesumatnya kepada Sami dalam perlawanan istimewa Lelaki Terakhir Gagah Berdiri (Last Man Standing).

Dalam perlawanan ini, tiada tindanan mahupun kunci menyerah kalah diperlukan untuk menewaskan pihak lawan. Mereka hanya perlu membelasah lawan masing-masing sehingga lemah. Pengadil akan membuat 10 kiraan dan mana-mana penggusti yang berjaya berdiri selepas 10 kiraan, akan diisyhtiharkan sebagai pemenang.

Namun sebelum bertemu Sami, Strowman telah diberi satu lagi tugasan oleh Stephanie di mana beliau perlu menentang Seth Rollins. Ternyata keperkasaan Strowman belum mampu menumbangkan Rollins secara total kerana buat pertama kalinya, kekuatan fizikal Strowman teruji dengan kelicikan strategi oleh bekas Juara Dunia WWE itu.


Perlawanan walaubagaimanapun berkahir dengan pembatalan apabila Sami Zayn muncul mengganggu perlawanan dan memukul curi Strowman. Bintang gergasi yang berang terus mengejar Sami hingga ke belakang tabir.

Ketika ditemui pasca Raw semalam, Sami menjelaskan yang perlawanannya dengan Strowman di acara Raw pertama 2017 minggu hadapan adalah amat tepat di mana ia akan menjadi medan untuknya menamatkan sengketa yang telah tercetus sejak acara Roadblock lalu. Tanpa kiraan pin, Sami bertekad untuk memfokuskan serangan kepada bahagian kepala Strowman sehingga protege Bray Wyatt itu tidak mampu bangkit melawan lagi.


Konfrontasi dengan Sami Zayn ini pastinya akan membantu Strowman untuk melangkah lebih jauh selepas ini. Dengan fizikal yang menakutkan, Strowman berpotensi untuk mengulangi sejarah dominasi penggusti berfizikal besar seperti Big Show, Andre The Giant, Sid Vicious, Gene Snitsky dan ramai lagi.

Bukan sesuatu yang pelik kerana Vince McMahon sendiri merupakan peminat kepada penggusti bertubuh sasa seperti Strowman. Jika Strowman berjaya mengekalkan momentumnya, tidak mustahil namanya akan tersenarai sebagai antara muka baharu dalam senarai pencabar kejuaran utama di jenama Raw.

Dengan acara Royal Rumble bakal bersiaran kurang lima minggu dari sekarang, Strowman berpeluang untuk menyerlahkan lagi potensinya dengan menyingkirkan 29 lagi peserta dalam perlawanan itu nanti. Jika Strowman berjaya beroleh kemenangan, peluangnya untuk bergelar juara pasti cerah dengan melangkah gagah ke acara Wrestlemania 33 sebagai pencabar utama Kejuaraan Universal WWE.

loading...

Komentar