AJ Styles diangkat sebagai penggusti terbaik 2016, Trofi Kejuaraan UK didedahkan

AJ Styles diangkat sebagai penggusti terbaik 2016, Trofi Kejuaraan UK didedahkan


Tidak syak lagi, tahun 2016 adalah tahun paling bermakna buat AJ Styles. Bermula dengan penampilan sulung di WWE awal tahun lalu di Royal Rumble, berkonfrontasi dengan Roman Reigns dan John Cena, memenangi Kejuaraan WWE pada September dan masih bergelar juara sehingga hari ini. Segalanya nampak tersusun indah buat penggusti berusia 39 tahun ini.


Resume kecemerlangan Styles bertambah lagi apabila Pro Wrestling Illustrated (PWI), sebuah majalah gusti terkemuka di Amerika Syarikat sejak 1972, menamakan Styles sebagai Penggusti Terbaik bagi tahun 2016.

Semalam, PWI telah mengumumkan para pemenang bagi Anugerah Pencapaian (Achievement Awards) tahunan mereka untuk kali ke 44 dan Styles telah mengungguli anugerah berprestij gusti profesional tersebut.

Bukan sahaja dinobatkan sebagai penggusti terbaik bagi sepanjang tahun 2016, Styles juga berkongsi kejayaan bersama John Cena setelah perlawanan mereka di acara Summerslam pada Ogos lalu dinamakan sebagai perlawanan terbaik untuk tahun lalu.

Ini merupakan kali pertama AJ memenangi tempat pertama anugerah berprestij ini setelah mendapat tempat kedua pada tahun 2005 dan 2014, manakala beroleh tempat ketiga pada tahun 2003 dan 2004. (Rujukan: http://www.pwi-online.com/pages/PWIawards.html )

Setelah terlibat dengan perlawanan epik bersama Shinsuke Nakamura di acara Wrestle Kingdom 10 awal Januari 2015 yang lalu, kedua mereka mengucapkan selamat tinggal kepada organisasi gusti terkemuka Jepun, New Japan Pro Wrestling (NJPW) untuk menyertai WWE. Sepertimana Styles, tuah juga menyebelahi Nakamura apabila beliau turut menerima anugerah sebagai Penggusti Paling Popular 2016 oleh PWI.


Orang harapan Vince McMahon, Roman Reigns pula menerima anugerah sebagai Penggusti Paling Dibenci untuk tahun 2016. Sesuatu yang agak kontra kerana Roman merupakan bintang berwatak baik yang cuba dinaikkan WWE sejak 2014. Namun sorakan 'boo' yang bergema setiap kali beliau muncul mungkin menjadi indikator penting sehingga melayakkan beliau menerima anugerah ini. Untuk rekod, Roman merupakan penerima anugerah Penggusti Terbaik pada tahun lalu.

Penerima anugerah PWI lain adalah:-
Penggusti Baharu Terbaik: Nia Jax
Penggusti Paling Memberi Inspirasi: Bayley
Kemunculan Semula Terbaik: Goldberg
Penggusti Wanita Terbaik: Charlotte Flair
Persengketaan Terbaik: Sasha Banks menentang Charlotte Flair
Pasukan Regu Terbaik: The New Day

Senarai penuh anugerah ini akan diterbitkan sedikit masa lagi dan boleh diikuti di http://www.pwi-online.com/

loading...

Komentar