Vince McMahon seorang pemaaf, masa depan Goldberg di WWE

Vince McMahon seorang pemaaf, masa depan Goldberg di WWE



WWE melalui satu kenyataan rasmi semalam telah mengumumkan yang pengurus dan promoter lagenda, James E. Cornette akan kembali ke WWE untuk menyampaikan anugerah Hall Of Fame kepada Rock n  Roll Express pada 1 April ini.

Perlantikan Cornette ini dikira amat tepat sekali kerana beliau merupakan individu yang bertanggungjawab menaikkan nama pasukan regu lagenda tersebut dengan bertindak sebagai pengurus semasa era kegemilangan mereka di Smokey Mountain Wrestling dan World Championship Wrestling (WCW) pada awal 90an.


Pengumuman ini adalah sesuatu yang agak mengejutkan kerana Cornette pernah mengatakan yang beliau tidak akan sesekali kembali ke WWE kerana pernah bermasalah dengan pihak pengurusan organisasi tersebut termasuk dengan Vince McMahon sendiri.

Untuk rekod, pengurus bermulut lantang berusia 55 tahun ini telah meninggalkan WWE pada 2005 dan sejak itu, beliau secara  terbuka sering mengkritik WWE dan Vince McMahon sendiri dengan kata-kata yang agak kurang enak untuk didengar.


Semuanya bermula ketika Cornette mengendalikan Ohio Valley Wrestling (OVW), pusat pembangunan bakat WWE pada 2005. Pada satu ketika, Cornette tidak dapat menahan kemarahannya terhadap seorang penggusti muda bernama Anthony Carelli (kini dikenali sebagai Santino Marella). Dalam insiden tersebut, Carelli dikatakan tidak memberi kerjasama yang baik apabila mentertawakan gaya masuk Boogeyman ke gelanggang. Akibatnya, Cornette telah menempeleng Carelli dan menyebabkan beliau digantung tugas serta dilepaskan daripada kontraknya tidak lama kemudian.

Sejak itu, beliau bertekad tidak akan sesekali akan kembali ke WWE dan memberikan khidmatnya kepada syarikat pesaing WWE seperti Total Nonstop Action Wrestling (TNA) dan Ring Of Honor (ROH). Ironinya, beliau turut bermasalah dengan pengurusan di syarikat-syarikat tersebut menyebabkan banyak pihak bermasam muka dengannya.

Justeru, sesuatu yang agak menghairankan apabila Cornette dihubungi kembali untuk terlibat di acara Hall Of Fame tahun ini. Sekaligus membayangkan yang Vince McMahon sanggup mengenepikan semua sejarah hitam dengan bekas pekerjanya yang pernah mencetuskan masalah sebelum ini.

Pada 2015, Cornette melalui siaran podcastnya pernah mengulas tentang sikap keterbukaan Vince ini dengan berkata:

“Pekerja menyamannya, tinggalkannya, kutuk macam-macam tentang dirinya, namun Vince tetap membawa mereka kembali. Ia bukan langkah terbaik untuk perniagaan melainkan untuk melayan kehendak ego Vince sendiri. Beliau hanya ingin buktikan yang beliau mampu lakukan segalanya kepada sesiapa sahaja. Yang paling penting, Vince ingin menunjukkan yang di akhirnya, semua orang memerlukannya kembali.”

Penerima anugerah Hall Of Fame 2017, Kurt Angle turut mendedahkan saat pertemuannya kembali dengan Vince McMahon selepas 11 tahun tidak bersua baru-baru ini.

“Kami bersua dan perkara pertama yang beliau lakukan adalah merangkul saya. Beliau memeluk saya seperti saya ini anak lelakinya. Ia sangat emosional. Semasa penghijrahan saya pada 2006, ia berlaku dalam suasana yang agak tegang. Ada sedikit ketidakpuasan di pihak saya dan sedikit kekecewaan pada Vince.


Apabila kembali kini, Vince berkata yang perkara lepas biarlah berlalu. Tiada apa perlu dirunsingkan dan tidak perlu mengenang perkara yang telah berlaku. Yang penting adalah apa yang berlaku kini dan akan datang. Kami telah merangka rancangan terbaik untuk kamu untuk masa depan.”

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dapat kita saksikan yang Vince McMahon dan WWE sentiasa membuka pintu untuk para bekas pekerjanya untuk kembali dengan membuang segala yang keruh. Nama-nama seperti Bruno Samartino, Randy “Macho Man” Savage, Ultimate Warrior, Goldberg, Bret Hitman Hart dan beberapa lagi bintang lagenda pernah berkerat rotan berpatah arang dengan Vince. Namun semuanya dilupakan demi kelangsungan legasi untuk terus memacu kejayaan di masa hadapan. Dengan bantuan menantunya Triple H, semuanya diatur kembali dengan penuh hati-hati ibarat menarik rambut dalam tepung agar semua kesumat yang berdarah selama ini dapat dirawat.


Kalau tidak, masakan Vince boleh melantik musuh ketat dan pesaingnya seperti Eric Bischoff yang pernah bertekad untuk menjahanamkan bisnesnya semasa perang antara WWE dan WCW berlangsung sengit di era 1996-2000 dulu.

Yang penting, semua yang dilakukan ini adalah best for business.

Masa depan Goldberg pasca Wrestlemania


Para peminat kini berteka-teki tentang perjalanan karier Goldberg di WWE selepas acara Wrestlemania pada 3 April depan. Dijangka akan tewas kepada Brock Lesnar seterusnya melepaskan Kejuaraan Universal yang dimenanginya awal bulan lalu, adakah bintang berusia 50 tahun ini akan terus bersara atau kekal beraksi bersama WWE.

Menurut Wrestling Observer Newsletter, acara Wrestlemania kelak kemungkinan tidak akan menjadi medan pencak terakhir ikon WCW itu. Melalui pemerhatian oleh WWE, kemunculan semula Goldberg amat disenangi peminat dan dianggap berjaya mencipta momentum yang dikehendaki syarikat.

Walaupun kontrak Goldberg adalah terhad dan hanya muncul sesekali, Goldberg adalah bintang yang amat digemari oleh peminat di acara live event, dan ia sekaligus mencetuskan kekaguman di kalangan pegawai WWE.

Justeru, pihak WWE akan membuka peluang untuk Goldberg menyambung kontraknya jika mahu dan akan ditampilkan sebagai tarikan utama di acara-acara PPV tertentu, menyamai kontrak yang ditandatangani oleh Brock Lesnar waktu ini.

Tentunya para WWE Universe belum bersedia untuk melepaskan Goldberg ke alam persaraan dan mendambakan beliau untuk beradu kekuatan dengan bintang-bintang muda WWE hari ini seperti Braun Strowman, Roman Reigns, Samoa Joe dan ramai lagi.

Baca Juga:
No
Beli Leptop/Notebook
1
2
3
4
5
6
7

loading...
Vince McMahon seorang pemaaf, masa depan Goldberg di WWE Vince McMahon seorang pemaaf, masa depan Goldberg di WWE Reviewed by My Tim on 08.48 Rating: 5

Tidak ada komentar:

Diberdayakan oleh Blogger.