Samoa Joe bakal muncul di Royal Rumble?

Samoa Joe bakal muncul di Royal Rumble?


Acara yang paling dinantikan setiap tahun, Royal Rumble bakal bersiaran pada 30 Januari ini. Seperti lazimnya, elemen kejutan merupakan sesuatu yang amat signifikan dengan acara ini dengan para peminat pastinya tertanya-tanya siapakah peserta kejutan yang akan membuat kemunculan dalam perlawanan Tempur Raksasa Diraja kelak.

Antara nama yang kini disebut-sebut bakal mengisi salah satu daripada 30 slot yang disediakan adalah bekas Juara TNA dan NXT, Samoa Joe. Kemungkinan penyertaan bintang berusia 37 tahun ini di Rumble kini menjadi topik hangat di kalangan para  penganalisis di mana Joe diramal bakal melangkah masuk ke roster utama dan acara Rumble bakal menjadi medan pertama untuknya dalam saingan dalam liga yang lebih besar selepas menyertai jenama pembangunan bakat WWE, NXT sejak Mei 2015 yang lalu.

Joe atau nama sebenarnya, Nuufolau Joel Seanoa dilaporkan telah mengalami sedikit kecederaan bulan lalu. Namun keterlibatan semula beliau dalam rakaman NXT pada Khamis lalu menjadi indikator yang dirinya kini telah pulih dan cergas seperti sedia kala.


Sejak tewas kepada Shinsuke Nakamura di acara NXT Osaka pada awal Disember lalu dan tumbang sekali lagi dalam perlawanan sangkar besi bagi perebutan Kejuaraan NXT di Australia pada 14 Disember lepas, Joe dilihat kurang terlibat dengan beberapa program NXT selepas itu dan tiada jalan cerita baharu untuknya di jenama tersebut. Penyandang juara, Shinsuke Nakamura pula kini akan menumpukan persengketaannya dengan pencabar baharu iaitu Bobby Roode, sekaligus menyingkirkan Joe daripada perebutan kejuaraan buat masa ini.

Spekulasi telah bertiup sejak beberapa bulan lalu yang menyatakan bahawa apabila sengketa antara Joe-Nakamura ini berakhir, Joe akan terus diserap dalam roster utama sepertimana bekas-bekas juara NXT lain seperti Finn Balor, Bo Dallas, Neville dan Seth Rollins. Dan ramai membuat ramalan bahawa Joe akan menyertai jenama Smackdown Live pasca kemunculannya di acara Royal Rumble kelak.

Namun semua ini hanyalah jangkaan dan boleh berubah bila-bila masa. Yang pasti, kehadiran Joe di roster utama bakal memberi impak besar kepada WWE yang kini mendambakan lebih ramai bintang untuk mengisi kelompongan yang ada di Raw dan Smackdown.

Banyak perlawanan hebat melibatkan Joe yang boleh kita harapkan jika benar Joe menyertai roster utama. Kita semestinya mengimpikan pertembungannya dengan Roman Reigns, Kevin Owens, Braun Strowman dan ramai lagi. Atau tidak keterlaluan, pertemuan semula Joe dengan “musuh” lamanya di TNA iaitu Juara WWE. AJ Styles.

Walaupun Joe merupakan seorang bintang berbadan gempal, namun kita tidak boleh sesekali menilainya daripada penampilan fizikalnya semata-mata. Percaya atau tidak, dengan berat badan 128 kilogram, Joe mampu untuk melakukan pelbagai gerakan akrobatik yang penggusti ringan boleh lakukan. Justeru, tidak pelik untuknya menjulang Kejuaraan X Division TNA sebanyak lima kali, sebuah kejuaraan khusus untuk divisyen penggusti berbadan ringan di TNA.


Joe sememangnya seorang penggusti yang hebat. Beliau pernah mendapat anugerah perlawanan 5 bintang untuk 3 tahun berturut-turut oleh Wrestling Observer Newsletter. Pada 2004, ketika menentang CM Punk di Ring Of Honor pada 16 Oktober 2004. Pada 2005 pula, beliau sekali lagi mengungguli persada gusti dengan perlawanan hebat menentang AJ Styles dan Christopher Daniels di acara TNA Unbreakable pada 11 September 2005. Kemudian pada 2006, sekali lagi beliau memperoleh anugerah yang sama dalam perlawanan menentang Kenta Kobashi di ROH pada 1 Oktober 2006.

Kehadiran Joe ke roster utama sudah tentu bakal menggusarkan para penggusti lain. Dengan gerakan penyudah Pemecah Otot, tiada apa yang mampu menghalang bintang kelahiran Orange County, California ini untuk menggapai segala yang diingini. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada Tyson Kidd. Semasa perlawanan sulung Joe di WWE pada 2015 (yang tidak disiarkan di TV), Kidd telah mengalami kecederaan serius di leher akibat gerakan tersebut yang memaksanya berehat sehingga sekarang.


Tidak mustahil, selepas AJ Styles, Samoa Joe pula bakal memecah tradisi dengan menjadi alumni TNA kedua bergelar Juara Dunia / Universal di WWE.

loading...

Komentar